Penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga, melengkapkan perpindahan pinjaman selama semusim ke Real Madrid.

Pemain antarabangsa Sepanyol berusia 28 tahun itu yang menyertai The Blues daripada Athletic Bilbao pada Ogos 2018 akan mengikat kontrak di Bernabeu hingga Jun tahun depan.

Real memerlukan penjaga gol baru selepas Thibaut Courtois terpaksa diketepikan untuk majoriti musim ini gara-gara kecederaan lutut 'ACL'.

Satu kenyataan di laman sesawang rasmi Real berkata: “Real Madrid CF dan Chelsea FC telah bersetuju untuk meminjam Kepa Arrizabalaga hingga 30 Jun 2024.



“Sepanjang lima musim di Chelsea, dia telah memenangi satu gelaran Liga Juara-Juara, satu Piala Dunia Kelab, satu Piala Super Eropah dan satu Liga Europa.

“Tahun ini, dia telah menerima anugerah Penjaga Gol Terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk musim 2022-2023.

“Kepa adalah pemain antarabangsa Sepanyol yang ditabalkan sebagai juara Liga Negara-Negara Eropah (UNL) 2023. Bersama Sepanyol, dia juga memenangi Kejohanan Eropah B-19 pada 2012.”

Kepa akan diperkenalkan secara rasmi sebagai pemain Real Madrid pada hari ini.

Kepulangannya ke Sepanyol juga dipengaruhi ketibaan rakan senegara, Robert Sanchez, 25, di Stamford Bridge.