Penyerang Selangor, Faisal Halim, menyimpan hasrat untuk menyarung kembali jersi kebangsaan meskipun perlu melalui proses sukar untuk mendapatkan rentak permainan asal.

Persoalannya, sempatkah bekas pemain Terengganu itu memperkuat Harimau Malaya menjelang pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia Arab Saudi 2027 yang akan bermula Mac depan?

Secara umumnya, masih tiada siapa yang dapat menggantikan aura ketika menyarung jersi keramat bernombor tujuh kebangsaan itu.

Menerusi bingkisan laporan khas wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, pemain kesayangan ramai itu mengungkap seribu kenyataan menitikkan air mata tatkala berkongsi mengenai perjalanan kebangkitan yang menakjubkan itu.

Miki mendedahkan bahawa dia perlu menggunakan kudrat yang banyak untuk bergerak lebih-lebih lagi ketika bermain bola sepak.

“Angkat tangan, bergerak mahupun berlari sangat susah bagi saya. Lebih-lebih lagi ketika sedang bermain bola sepak.

“Saya perlu mempelajari gerakan baru supaya dapat mengelak daripada kecederaan di tempat sama.

“Sudah tentu keadaan berbeza. Dalam keadaan sekarang, saya rasa seperti tidak normal berbanding pemain lain.





“Saya perlu biasakan dan terima dengan keadaan terkini. Tangan, badan dan parut saya,” katanya.

Dalam masa sama, Miki tidak berselindung mengenai tragedi yang menimpa dirinya, malah berasa sebak apabila ditanya oleh anaknya.

Sebaliknya, insiden itu memberi kesan yang mendalam terhadap Miki dan keluarganya.

“Daddy, kenapa orang jahat buat dekat daddy? Apa saya mahu jawab kepada anak saya?

Kes simbahan asid kekal misteri dan tiada sebarang perkembangan terkini meskipun mendapat perhatian seantero dunia.