Skuad kebangsaan melewati satu lagi keputusan yang tidak diinginkan apabila tewas 0-2 kepada Oman dalam aksi kelayakan Piala Dunia/Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.

Pemain Paling Bernilai 2023, Arif Aiman hampir mencipta rekod antara gol paling pantas Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia apabila tindakannya merampas bola daripada pertahanan Oman hampir memberikan gol awal.

Ketika itu perlawanan baru sahaja berusia 70 saat namun percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Oman, Ibrahim Al-Mukhaini.

Perlawanan semakin rancak dengan Oman pula mula mengatur serangan -- Minit kelapan pintu gol Malaysia hampir bolos tetapi percubaan meleret di depan gawang negara.

Malaysia mempamerkan corak permainan yang serangan demi serangan sementara Oman pula cuba mengorak langkah dengan gerakan serangan balas.

Ketika perlawanan semakin rancak, pertahanan Terengganu, Azam Azmi Murad yang diberikan mandat mengisi posisi bek kanan gagal meneruskan permainan apabila mengalami kecederaan dan Daniel Ting dibawa masuk sebagai pengganti.

Penjaga gol negara, Syihan Hazmi Mohamed, memastikan gawang Malaysia terus tidak dibolosi apabila menafikan tandukan Muhsen Al-Ghassani.

Oman bagaimanapun berjaya akhirnya membuka jaringan ketika separuh masa pertama hampir tamat apabila Omar Al-Malki menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-48.

Kemasukan Brendan Gan menggantikan Syamer Kutty Abba di separuh masa kedua, diharap membawa sinar kepada Malaysia walaupun percubaan dari luar kotak penalti masih belum mampu menembusi gawang lawan.

Namun sesekali Oman datang, memberi debaran di kubu pertahanan Malaysia, seperti gerakan satu dua Jameel Al0Yahmadi yang hampir memberi peluang untuk Salaah Al-Yahyaei menggandakan gol buat pelawat.

Harapan besar penyokong yang hadir ke SNBJ untuk menyaksikan gol penyamaan dijelmakan dihadapan mata hampir berlaku selepas sejam perlawanan berlangsung khususnya sentuhan membabitkan pemain yang dinaturalisasikan pada 2023, Romel Morales.

Menuju ke penghujung permainan, jantung penyokong Harimau Malaya sekali lagi berdebar kencang apabila tolakan bola dari Syihan di hadapan gawang untuk mengeluarkan bola dari zon bahaya hampir membawa padah -- mujur bola terkena palang gol.

Oman menggandakan jaringan menerusi Mohammed Al-Hinai sekaligus memastikan Harimau Malaya berputih mata di laman sendiri dengan kekalahan 0-2.

Kekalahan tersebut menyaksikan Malaysia menghuni tangga ketiga, kekal dengan enam mata sementara Oman dan Kyrgyzstan selesa menghuni tangga pertama dan kedua apabila berkongsi sembilan mata.