Bekas ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal, berasakan skuad negara kini berada dalam momentum terbaik untuk meraih kemenangan kedua dalam saingan Kumpulan D pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Malaysia akan berdepan Chinese Taipei di gelanggang lawan itu malam esok selepas mencatatkan kemenangan dramatik 4-3 ke atas Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis lalu.

Rajagobal, yang merupakan pengendali skuad negara ketika menjuarai Piala AFF pada 2010, menjangkakan aksi mencabar bakal dihadapi pasukan bimbingan Kim Pan-gon itu memandangkan Chinese Taipei pasti mahu bangkit meraih kemenangan pertama selepas tewas 0-3 kepada Oman dalam aksi pembukaan.

Tambahnya, kekuatan Malaysia ketika ini terletak di bahagian serangan dengan rangkaian pemain seperti Faisal Halim, Arif Aiman Hanapi dan Paulo Josue.

"Bukan senang perlawanan di Chinese Taipei itu dengan penyokong mereka di sana," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.

"Tetapi saya fikir pada ketika ini, prestasi dan momentum pasukan kita nampak baik, hanya perlu fokus.

"Saya rasa jurulatih dan pemain tahu keperluannya apabila bertandang ke sana adalah untuk mencuba mendapatkan tiga mata.

"Ia untuk menambah harapan buat perjalanan kita -- selepas melalui satu demi satu perlawanan -- untuk layak ke pusingan berikutnya," katanya.