Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia: Harimau Malaya akan tampil lebih bertenaga -- Dion Cools

Muzaffar Musa
March 25, 2024 13:06 MYT
Kapten Harimau Malaya, Dion Cools, menjanjikan aksi lebih bertenaga dan konsisten daripada pasukannya menjelang aksi berdepan Oman bagi pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.
Skuad negara sebelum ini bergelut dengan isu kecergasan ketika tewas 0-2 kepada Oman di Muscat minggu lalu.
Ini gara-gara kebanyakan pemain berada dalam fasa pramusim bersama kelab masing-masing, bahkan ada yang belum menjalani sebarang latihan sebelum ke kem kebangsaan.
Bagaimanapun, Cools tidak mengalami masalah itu memandangkan dia bersama Buriram United masih beraksi dalam saingan Liga 1 Thailand.
"Saya fikir kami hanya memerlukan sesuatu yang lebih baik daripada perlawanan sebelum ini," katanya dalam sidang media seperti yang dipetik wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Daripada perspektif pasukan ini, perlawanan ini singkat, jadi kami perlu memberikan reaksi pantas berbanding perlawanan sebelum ini.
"Kami sepasukan tidak sabar untuk perlawanan ini, terutama dengan beraksi di laman sendiri, ia amat istimewa buat kami.
"Kami menjangkakan satu perlawanan yang baik dan harap-harap kami dapat mempamerkan aksi lebih baik berbanding perlawanan lalu," katanya.
#bola sepak #dion cools #Harimau Malaya #Kelayakan Piala Asia #kelayakan Piala Dunia