SWEDEN 2 SEPANYOL 1

Sepanyol berdepan kekalahan dalam tempoh 90 minit buat kali pertama sejak Oktober 2020 apabila Sweden bangkit daripada ketinggalan untuk menang 2-1 dalam perlawanan Kumpulan B pusingan kelayakan Piala Dunia di Arena Friends awal pagi tadi.

Sebelum ini, kedua-dua pasukan itu terikat 0-0 dalam Euro 2020 tetapi dengan beraksi di depan penyokong sendiri kali ini, Sweden terbukti lebih berbahaya di jentera serangan dengan dua penyerang, Dejan Kulusevski dan Alexander Isak, memainkan peranan yang cukup berkesan.

Isak menyumbat masuk jaringan penyamaan pada minit kelima, hanya berselang seminit selepas Carlos Soler menjaringkan gol antarabangsa pertamanya bersama Sepanyol sebagai rencah aksi babak pertama yang cukup menghiburkan daripada kedua-dua pasukan.

Momentum rancak itu berterusan dalam babak kedua dan Kuluvsevski berhasil melakukan umpanan yang menemui Viktor Claesson untuk pemain itu menjaringkan gol kemenangan Sweden, sekali gus berada di tangga teratas Kumpulan B dengan sembilan mata.

Sepanyol pula berada di tangga kedua dengan ketinggalan dua mata tetapi sudah beraksi lebih satu perlawanan berbanding lawan mereka.