Penyerang Milan dan Sweden, Zlatan Ibrahimovic, melahirkan kekhuatirannya terhadap persaraan apabila berkata dia mungkin menghilangkan diri sepenuhnya sebaik sahaja kariernya berakhir.

Ibrahimovic mencecah usia 40 tahun pada Oktober depan dan kekal sebagai sosok terpenting di kelabnya dan dilaporkan dalam perbincangan untuk menandatangani kontrak baru selepas penghujung musim ini.

Bekas bintang Barcelona, ​​Paris Saint-Germain dan Manchester United itu bergelut dengan kecederaan musim ini tetapi masih sempat beraksi sebanyak 22 kali.

Selain membantu mengemudi Milan untuk meraih Scudetto pertama sejak 2011, Ibrahimovic juga berharap dapat membantu Sweden layak ke Piala Dunia 2022 selepas mengubah pendiriannya tahun lalu.




Tatkala dia masih dipanggil untuk kelab dan negara, jadi Ibrahimovic belum terlintas untuk menggantung butnya.

"Saya mempunyai ketakutan tentang persaraan: apa yang akan berlaku seterusnya? Saya tahu saya akan berdepan kemungkinan itu dan mendapat tawaran lain," katanya dalam sidang akhbar sempena berdepan Republik Czech, Jumaat ini.

"Tetapi adrenalin yang saya rasakan ini di atas padang, saya tahu saya tidak akan mampu memperolehnya di tempat lain. Itulah sebabnya saya mengalami panik ini. Saya akan meneruskan karier ini selama mungkin dan hanya mahu menikmatinya.

"Kita lihat kelak apabila tiba masanya. Sama ada saya boleh berehat atau menghilangkan diri sepenuhnya.

"Kami diprogramkan untuk bangun, berlatih, pulang ke rumah dan berehat. Ia telah berterusan selama 20-25 tahun tetapi suatu hari nanti saya akan bangun dari tidur tanpa tidak merancang apa-apa. Ia akan menjadi satu perasaan yang pelik."