BRAZIL 4 PARAGUAY 0

Brazil mengekalkan rekod kemenangan bersih di laman sendiri dalam kempen pusingan kelayakan Piala Dunia selepas menewaskan Paraguay 4-0 di Belo Horizonte sebentar tadi.

Jaringan awal penyerang Leeds United, Raphinha, dibatalkan video bantuan pengadil (VAR) tetapi dia kemudian menebus kekecewaan itu dengan meledakkan jaringan pembukaan tuan rumah pada minit ke-28.

Pemain baru Aston Villa, Philippe Coutinho, kemudian melebarkan kelebihan itu pada minit ke-62, sekali gus menamatkan kemarau jaringannya di peringkat antarabangsa sejak 2020.

Brazil kemudian menambah dua lagi gol pada lewat permainan, di mana penyerang Ajax, Antony, melepaskan sepakan lencong yang menewaskan penjaga gol, Antony Silva, pada minit ke-86 sebelum pemain baru Newcastle United, Bruno Guimaraes, melakukan bantuan untuk disudahkan Rodrygo pada minit ke-88.

Kemenangan itu bermakna Selecao, yang sudah layak selaku pasukan teratas pusingan kelayakan ke Qatar 2022, tidak pernah tewas sepanjang 15 perlawanan kempen kelayakan itu dan kekal berkelebihan empat mata di depan seteru utama, Argentina, dalam carta zon Amerika Selatan.

Brazil juga mengekalkan rekod bersih tujuh kemenangan daripada tujuh perlawanan pusingan kelayakan di tempat sendiri dengan menjaringkan lapan gol dan hanya dibolosi sekali.

Keputusan itu juga menyaksikan Paraguay sah tidak lagi berpeluang untuk ke kejohanan terbesar di Qatar itu.