Kelayakan Piala Dunia 2024: Indonesia masih berpeluang cerah ke pusingan ke-4
King Hisyam
October 9, 2024 13:11 MYT
October 9, 2024 13:11 MYT
Apa agaknya nasib wakil tunggal Asia Tenggara dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 iaitu Indonesia yang bakal berdepan dengan Bahrain, tengah malam esok.
Andai dicongak, skuad Garuda masih lagi berpeluang untuk menempatkan diri ke kelompok yang akan melayakkan diri ke pusingan ke-4 seandainya mengakhiri saingan pusingan ketiga di kedudukan ketiga atau keempat.
Dua seri daripada dua perlawanan meletakkan Indonesia kini berada dikedudukan keempat dalam kumpulan C di belakang Bahrain dengan hanya dibezakan satu mata sahaja.
Sementara Bahrain pula bakal turun beraksi dalam keadaan yang lebih tertekan selepas baru sahaja dibelasah teruk oleh Jepun 0-5 tempoh hari.
Justeru, pertembungan dengan Bahrain menjadi perlawanan yang amat penting buat skuad Garuda walaupun terpaksa bertandang ke tempat lawan dalam aksi yang bakal berlangsung di Stadium Nasional negara itu.
Bahrain yang kini menduduki di tangga ke-76 dunia FIFA pula sudah pastinya tidak akan mensia-siakan peluang dan kelebihan bermain di laman sendiri nanti untuk kembali tampil dengan
corak permainan yang lebih meyakinkan selepas kekalahan besar di tangan Jepun dalam aksi terakhir mereka.
Sudah pastinya mereka kini akan mensasarkan Indonesia untuk membalas kehampaan tersebut sekaligus bagi mengukuhkan kembali kedudukan mereka dalam kumpulan C di belakang Arab Saudi dan Jepun.