Kelayakan Piala Asia B-17: Harimau Muda terlepas tiket ke Piala Asia 2025

Najmi Iman
October 27, 2024 22:27 MYT
Laos menidakkan harapan skuad muda negara selepas mengikat permainan dalam perlawanan Kumpulan H Kelayakan Piala Asia B-17 di Stadium Nasional Lao KM16, Vientiane, sebentar tadi.
Sebelum ini, Malaysia mencatatkan kekalahan berdepan Emeriah Arab Bersatu (UAE) dengan keputusan 0-2.
Skuad kendalian Javier Jorda Ribera terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-11 menerusi Arrayyan Hakim sebelum Laos menyamakan kedudukan 1-1 10 minit kemudian yang dijaringkan Palinedth Phettakounh.
Laos terus bersemangat apabila menukar corak permainan kepada aksi lebih garang dan hasilnya mereka memperoleh sepakan penalti yang disudahkan oleh Phayak Siphanom menewaskan penjaga gol, Naqqiudin.
Memasuki babak kedua aksi, pemain berjersi nombor 11 negara, Naqif Firhad, berjaya membawa Malaysia kembali dalam permainan 2-2 selepas mencetak nama sebagai penjaring.
Skuad muda kebangsaan terpaksa berputih mata tatkala mengakhiri saingan dengan satu mata sahaja, sekali gus gagal menempah tempat dalam kempen Piala Asia 2025.
#bola sepak #Malaysia #Harimau Muda #Kelayakan Piala Asia B-17
;