Virgil van Dijk menikmati cabaran yang bakal dihidangkan Kylian Mbappe ketika Belanda menentang Perancis dalam kelayakan Euro 2024.

Skuad Oranje bakal membuka kempen kelayakan mereka di bawah kendalian Ronald Koeman di Stade de France di Paris, awal pagi esok, di mana mereka berdepan ujian berat menentang naib juara Piala Dunia itu.

Jangkitan virus telah melanda kem Belanda minggu ini menjelang pertembungan dengan Perancis diikuti perlawanan menentang Gibraltar di Rotterdam, Selasa depan, yang menyaksikan lima pemain terpaksa dihantar pulang.

Itu boleh menjadikan tugas mengekang kapten baru Perancis, Mbappe kian sukar, tetapi Van Dijk menegaskan bahawa bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu bukan satu-satunya ancaman yang perlu mereka berwaspada.

"Bola sepak dimainkan dengan 11 lawan 11, bukan satu lawan satu. Detik-detik perlawanan akan timbul tetapi adalah penting untuk bertahan dan menyusun permainan dengan baik.

"Kami perlu membantu antara satu sama lain apabila ada yang menggelecek," kata pertahanan Liverpool itu dalam sidang media.




"Bagaimanapun, jelas sekali bahawa Kylian Mbappe merupakan seorang pemain bertaraf dunia. Dia boleh membuat perbezaan, itu jelas. Kami perlu melakukannya dengan baik, baik daripada segi pertahanan mahupun serangan.

"Jika penyerang kami beraksi dengan baik, ia juga mampu memudahkan kami sebagai pertahanan. Kami perlu melakukan perkara bersama-sama.

"Saya menantikannya dan bukan saya seorang sahaja dalam kumpulan ini yang mempunyai perasaan seperti ini."