Kelayakan Euro 2024: Macedonia Utara sekat kemenangan pertama Spalletti bersama Itali

Muzaffar Musa
September 10, 2023 02:28 MYT
MACEDONIA UTARA 1 ITALI 1
Macedonia Utara bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Itali 1-1 dalam perlawanan Kumpulan C pusingan kelayakan Euro 2024 awal pagi tadi, sekali gus menafikan kemenangan pertama Luciano Spalletti sebagai ketua jurulatih Azzurri.
Spalletti mengambil alih pasukan itu selepas Roberto Mancini meletakkan jawatan secara mengejut bulan lalu dan pasukan berkenaan sebelum ini tewas kepada England dalam perlawanan pembukaan kempen kelayakan berkenaan.
Ciro Immobile terlebih dahulu memecahkan kebuntuan dua minit selepas babak kedua bersambung apabila menanduk masuk lantunan bola susulan percubaan voli Nicolo Barela yang terkena palang gol.
Bagaimanapun, Macedonia Utara -- yang menewaskan Itali dalam playoff Piala Dunia 2022 -- kembali menyamakan kedudukan pada sembilan minit terakhir hasil sepakan percuma gemilang ketua pasukan, Enis Bardhi.
Keputusan seri itu menyaksikan Itali menduduki tangga ketiga kumpulan berkenaan tetapi baru beraksi tiga perlawanan.
#bola sepak #Luciano Spalletti #Itali #Macedonia Utara #Kelayakan Euro 2024