Kelayakan Euro 2024: Gol berganda Harry Wilson bantu Wales atasi Croatia
Fatin Ruzaiman
October 16, 2023 09:38 MYT
October 16, 2023 09:38 MYT
Harry Wilson meraikan penampilannya yang ke-50 bersama Wales dengan gol berganda, sekali gus membantu pasukan itu menghampiri kelayakan ke Euro 2024 dengan menewaskan Croatia 2-1 di Cardiff awal pagi tadi.
Wilson menunjukkan aksi cemerlang di tempat sendiri dengan dua gol dalam separuh masa kedua, cukup untuk menghalang kebangkitan lewat Croatia menerusi jaringan Mario Pasalic pada 15 minit terakhir.
Wales turun dalam perlawanan itu dengan menyedari kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir itu amat diperlukan bagi memastikan kedudukan dua teratas Kumpulan D dan mengelakkan play-off pada Mac depan.
Pasukan bimbingan Rob Page itu masih perlu mengharungi beberapa lagi saingan - bermain di tempat lawan di Armenia dan di laman sendiri menentang Turki - tetapi dengan menewaskan semi-finalis Piala Dunia 2022 itu sedikit sebanyak memberikan galakan yang hebat buat mereka.
Kemenangan itu menempatkan Wales di kedudukan kedua di atas Croatia setelah kedua-dua pasukan terikat dengan 10 mata tetapi The Dragons memiliki rekod pertemuan lebih baik menerusi kemenangan kali ini selepas terikat 1-1 di Split pada Mac lalu.
Keputusan cemerlang itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan tekanan ke atas pengurus, Page, yang kedudukannya kini tergugat selepas Roy Keane dikaitkan untuk mengambil alih tugasnya.