Ivan Toney menerima panggilan tugasan antarabangsa menjelang dua perlawanan pusingan kelayakan Euro 2024 menentang Itali dan Ukraine hujung bulan ini tetapi Trent Alexander Arnold tidak tersenarai.

Toney mendapat panggilan pertamanya di peringkat senior menjelang aksi menentang Itali dan Jerman dalam Liga Negara-Negara Eropah (UNL) pada September lalu tetapi penyerang Brentford itu tidak dapat melakukan sebarang penampilan dan tidak tersenarai mewakili England dalam Piala Dunia Qatar 2022 hujung tahun lalu -- walaupun sentiasa mempamerkan aksi terbaiknya di peringkat kelab.

Pemain berusia 27 tahun itu menjaringkan satu gol ketika Brentford menewaskan Southampton 2-0 awal pagi semalam untuk kini mengumpulkan 16 jaringan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini -- hanya Erling Haaland (28) dan Harry Kane (20) memiliki rekod lebih baik.

Bagaimanapun, penyenaraian namanya kali ini merupakan satu kejutan memandangkan dia sedang mennjalani 262 pertuduhan oleh Persatuan Bolasepak England (FA) atas dakwaan melanggar peraturan membabitkan perjudian.

Pengurus pasukan, Gareth Southgate, kekal dengan keputusannya untuk menamakan penyerang itu selagi mana dia masih dapat mewakili kelabnya.

"Keyataannya dia masih dapat diturunkan kelabnya, masih belum ada sebarang perbicaraan atau sebarang keputusan, jadi saya tidak tahu apa sebabnya untuk kami tidak memilihnya," kata Southgate selepas menamakan skuadnya malam tadi.

"Dia bermain dengan amat bagus, saya menggemari penglibatannya dalam permainan dan dia layak mendapat peluang."

Sesuatu yang agak mengejutkan adalah ketiadaan nama Alexander-Arnold dalam skuad kali ini pada ketika pemain itu kelihatan bergelut dengan prestasi semasanya bersama Liverpool.

Dengan kehadiran semula Reece James selepas mengalami kecederaan lutut menjelang Pala Dunia Qatar hujung tahun lalu, Southgate berasakan penyenaraian Alexander-Arnold dan seorang lagi pemain, Ben White, akan menjadi satu pembaziran.

"Ketiga-tiga pemain itu merupakan bek kanan, kami memiliki pemain yang lebih baik berbanding mereka berdua (Alexander-Arnold and White).

"Ia satu posisi yang agak sukar untuk memilih pemain, ia sentiasa berubah-ubah berdasarkan prestasi.

"Kyle (Walker) dan (Kieran) Trippier sudah jelas pemain yang dipilih dalam Piala dunia dan Reece juga sudah kembali, seorang lagi pemain terbaik.

"Satu ketika dulu, kami mengambil terlalu banyak pemain di posisi itu tetapi dengan berada di peringkat ini musim ini, anda tidak mahu membawa terlalu ramai pemain yang tidak akan bermain.

"Semua pemain yang tidak terpilih tahu sebabnya," katanya lagi.