Marcus Rashford dan Nick Pope tidak dapat meneruskan komitmen bersama England bagi menghadapi kempen kelayakan Euro 2024 menentang Itali dan Ukraine akibat kecederaan.

Seperti yang disahkan oleh pengurus Chelsea, Graham Potter, minggu lalu, Mason Mount turut tidak dapat melaporkan diri kerana kecederaan.

Pope ditimpa kecederaan dalam kemenangan 2-1 Newcastle United di Nottingham Forest Sabtu lalu, manakala Rashford mengalami kecederaan ketika membawa Manchester United ke separuh akhir Piala FA selepas membenam Fulham 3-1, semalam.

Penjaga gol veteran Tottenham, Fraser Forster -- yang mendapat minit permainan sejak kecederaan membelenggu Hugo Lloris bulan lalu -- telah dipanggil untuk menggantikan Pope sementara ketua jurulatih England, Gareth Southgate, memutuskan untuk menggantikan tempat Rashford atau Mount.



Pemain berusia 35 tahun itu telah beraksi sebanyak 13 kali buat Spurs musim ini dan lima perlawanan tanpa dibolosi.

Ketiadaan Rashford akan menjadi tamparan khusus buat Southgate yang berhasrat menurunkan penggempurkan United itu yang dalam kemuncak prestasi menerusi 27 gol dalam 44 penampilan untuk kelabnya musim ini.

England akan bertemu Itali di Stadio Diego Armando Maradona pada Jumaat ini sebelum menerima kunjungan Ukraine di Stadium Wembley, tiga hari kemudian.