Kekalahan kepada Indonesia sejarah paling buruk bola sepak Arab Saudi

Muzaffar Musa
November 20, 2024 14:51 MYT
Bekas bintang skuad kebangsaan Iraq, Nashat Akram, menyifatkan kekalahan 0-2 kepada Indonesia dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia di Stadium Gelora Bung Karno malam tadi merupakan sejarah terburuk buat bola sepak Arab Saudi.
Ia adalah kekalahan pertama Al-Akhdar kepada Indonesia sepanjang pertemuan kedua-dua pasukan itu dalam semua kejohanan.
Kekalahan itu juga menyaksikan laluan Arab Saudi dalam saingan Kumpulan C berkenaan kian rumit dengan mereka kini menduduki tangga keempat dengan enam mata daripada enam perlawanan.
Akram, dalam satu wawancara bersama Qatari Al-Kass, berkata: "Ini adalah aksi terburuk dalam sejarah bola sepak Arab Saudi. Saya rasa pemain mereka ingin segera memadamkan sejarah buruk itu buat Al-Akhdar dan semoga Allah membantu jurulatih mereka."
Dia menambah: "Adalah perlu untuk memahami bahawa empat pemain mereka tidak berada di tahap terbaik tetapi hari ini, 11 pemain dari Arab Saudi seolah-olah tidak berada di atas padang!"
"Terdapat 11 pemain dari pasukan kebangsaan Saudi yang tidak fokus dan keadaan fizikal mereka tidak baik, malah pemain gantian juga tidak memberikan tambahan yang diperlukan.
"Saya melihat Indonesia memaksa Arab Saudi untuk tampil dengan cara yang tidak begitu baik. Lawan mengejutkan Al-Akhdar pada awal perlawanan dan pasukan Arab tidak menemui penyelesaian kolektif atau individu dan berlaku pergerakan perlahan," katanya.
#bola sepak #Indonesia #kelayakan Piala Dunia #Arab Saudi
;