Iga Swiatek sudah pulih sepenuhnya daripada masalah kesihatan dan optimis untuk mendapatkan prestasi terbaiknya di atas gelanggang rumput Kejohanan Wimbledon.

Pemain nombor satu dunia itu meraih gelaran Terbuka Perancis ketiganya dalam tempoh empat tahun di Paris tiga minggu lalu dan kelihatan amat sempurna untuk memenangi satu lagi gelaran grand slam kali ini selepas turut menjuarai Terbuka Amerika Syarikat (AS) di atas gelanggang keras tahun lalu.

Dia mencetuskan kegusaran apabila terpaksa menarik diri daripada separuh akhir kejohanan gelanggang rumput Bad Homburg pada Jumaat lalu kerana demam dan keracunan makanan tetapi tiba di Wimbledon semalam dengan nada positif.

"Saya melalui malam yang amat buruk (pada Khamis lalu). Kami melakukan pemeriksaan dengan jurulatih kecergasan saya pada pagi itu. Mereka berasakan ia tidak kelihatan baik kerana saya tidak cukup tidur.

"Saya mengalami sakit perut tetapi saya tidak tahu ia sesuatu yang biasa atau tidak. Kemudian pada hari itu, saya berasa baik, jadi saya amat yakin saya akan baik-baik sahaja.

"Saya benar-benar rasakan yang waktu saya di Bad Hamburg digunakan untuk latihan dan membiasakan diri dengan gelanggang rumput.

"Saya fikir setiap tahun saya mendapatkan rentak yang sedikit lebih pantas.

"Jadi, saya rasa saya sudah bersedia dan agak teruja untuk melalui kejohanan ini," katanya.