Kejohanan Bola Sepak 7's Asia: Kombinasi pemain berpengalaman, ubi muda serta pemain futsal jadi tunjang utama negara

Najmi Iman
October 9, 2024 20:30 MYT
Menjelang Kejohanan Bolasepak 7's Asia yang akan berlangsung esok, pasukan Malaysia sedia memberi saingan sengit kepada pasukan lawan terutamaya cabaran Kumpulan B di EV Arena, Shah Alam.
Pembentukan pasukan bola sepak tujuh sebelah negara bermula apabila pengurusnya, Shahrizin Shaharudin, menawarkan diri untuk mengumpulkan pemain dan menjalankan sesi percubaan sebelum merekrut pemain yang sudah melepasi saringan.
Tambahnya, pendekatan mengenai permainan tersebut memerlukan latihan yang berbeza kerana para pemain perlu bijak menggunakan ruang yang terhad selain aspek teknikal iaitu tidak kerap melakukan hantaran lintang, malah mengimplementasi pelbagai gaya permainan.
Kombinasi pemain berpengalaman, pemain muda dan futsal bakal menjadi senjata terbaik skuad kebangsaan menentang lawan sambil menetapkan sasaran melepasi peringkat kumpulan untuk mara ke pusingan seterusnya.
"Tak perlu merendah diri dan formasi yang kami gunakan adalah fleksibel jadi semua perkara boleh terjadi.
"Kami harus mengambil peluang terutamanya bermain di tempat sendiri walaupun tempoh persiapan tidak panjang," katanya.
Penganjuran edisi kedua pertandingan itu merupakan hasil usaha Ketua Pegawai Eksekutif, Anton Del Rosario, yang berjaya menambah bilangan pasukan daripada edisi sulung tiga kepada lapan pasukan.
"Ketika pandemik Covid-19, saya melihat negara India, Jepun dan Brunei mengadakan perlawanan bola sepak 7 sebelah dan Filipina pula sudah bermain sejak 2018.
"2023 kami membawa tiga negara tersebut ke Filipina untuk bertanding dalam edisi sulung.
"Jadi, sekarang kami sudah mempunyai lapan negara yang datang ke Malaysia untuk berlawan merebut kejuaraan.
"Ia akan menjadi aksi yang menarik sambil melihat legenda negara kembali mewakili negara," katanya dalam segmen tetamu khas Nadi Arena, sebentar tadi.
#bola sepak #Kejohanan Bolasepak 7's Asia
;