Kejayaan di Shanghai buka lembaran baru buat skuad renang negara

Shaiful Shamsudin
October 22, 2024 20:23 MYT
Pengerusi Bersama Jawatankuasa Renang Malaysia (MAS), Marilyn Chua, memilih sentuhan jurulatih, Eric Anderson, sebagai faktor utama kebangkitan skuad negara.
Ia menerusi sensasi di Shanghai, China, yang menyaksikan satu pingat gangsa dan enam rekod kebangsaan dilakar dalam Piala Dunia Renang Akuatik 2024.
Gangsa disumbangkan olimpian negara, Tan Rouxin, dan kejayaan itu memberi makna yang cukup besar untuk sukan renang negara memandangkan ia adalah medal pertama buat Malaysia dalam tempoh 35 tahun.
"Kami sentiasa melihat renang sebagai sukan berpasukan. Jadi budaya berpasukan amat-amat penting.
"Pengarah dan jurulatih baru badan induk ini turut menerapkan aspek ini," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Untuk rekod, Jeffrey Ong merupakan perenang terakhir yang meraih perak dalam acara jarak dekat kejohanan berprestij itu pada 1989.
Marilyn yang pernah beraksi di Olimpik Sydney 2000 berharap kejayaan itu juga mampu menjadi pemangkin buat perenang negara menghadapi Kejohanan Dunia di Hungary Disember depan.
"Walaupun ini sukan individu tapi sebenarnya atlet tidak boleh berenang berseorangan.
"Kami mahu lebih ramai lagi atlet negara layak. Kebanyakkan perenang negara tidak berpengalaman luas di peringkat antarabangsa.
"Jadi kempen di Shanghai bukan sahaja membawa pulangan pencapaian yang bagus, malah pendedahan yang hebat buat mereka," katanya lagi.
#Renang #MAS
;