Ketua Pegawai Eksekutif Kedah Darul Aman FC, Khamal Idris Ali, mengucapkan terima kasih kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) kerana meminjamkan penyerang, Syafiq Ahmad, biarpun tempoh pinjaman pemain itu dipendekkan daripada setahun ke enam bulan.

Syafiq sepatutnya akan kekal di Kedah sehingga penghujung musim ini tetapi tempoh berkenaan disingkatkan dan pemain berusia 26 tahun itu hanya sempat beraksi sebanyak sembilan perlawanan bersama Lang Merah.

Khamal Idris, bagaimanapun, berasakan perkara itu merupakan sesuatu yang normal dan mengakui pasukan bimbingan Aidil Sharin Sahak itu akan melakukan rombakan sewaktu jendela perpindahan dibuka bermula Sabtu ini.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Fadhirul Shuhaimi, dia berkata: "Yang pertama sekali, saya mahu mengucapkan berbanyak terima kasih kepada JDT kerana memberi peluang kepada Syafiq untuk berkhidmat di Kedah walaupun hanya sebanyak sembilan perlawanan.

"Dan seperti yang kita sedia maklum, kami meminjam dan apabila sampai satu peringkat, cepat atau lambat, kami perlu memulangkannya kepada pasukan asalnya.

"Syafiq Ahmad banyak membantu pasukan Kedah dan ketiadaannya, sedikit-sebanyak, ada juga kesannya kepada kami.

"Bagaimanapun, kami perlu menghadapinya dengan tenang dan ada jalan penyelesaiannya.

"Walaupun kedudukan dan keputusan pasukan kami agak terumbang-ambing, kami akan melakukan yang terbaik untuk memastikan pasukan ini berada di landasan yang sebenar," katanya.

Kedah, dalam pada itu, akan berdepan JDT di Stadium Darul Aman apabila saingan Liga Super bersambung pada 19 Jun ini.