Pemilik Kedah Darul Aman, Tan Sri Dr Daud Bakar, berkata pasukan itu kini sudah mengumpulkan 90 peratus daripada dana yang diperlukan untuk menyelesaikan tunggakan gaji sebelum tarikh akhir yang ditetapkan badan bebas, First Instance Body (FIB) pada 20 April ini.

FIB sebelum ini berkata Kedah perlu menyelesaikan baki tunggakan berkenaan pada tarikh kedua itu selepas gagal melakukannya pada tarikh akhir pertama pada 30 Mac lalu.

Ia menyaksikan skuad Kenari itu dikenakan pemotongan tiga mata dan denda sebanyak RM50,000, bahkan mereka mungkin tidak dapat memperbaharui lesen kebangsaan sandainya sekali lagi gagal mematuhi tarikh akhir yang ditetapkan.

Justeru, Kedah berharap penyokong tegar pasukan itu dapat turut sama membantu melengkapkan jumlah yang diperlukan itu melalui skim-skim yang diperkenalkan.

Mengulas mengenai perkara itu, Daud berkata dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di Astro Arena sebentar tadi: "Pihak pengurusan KDA FC sudah mencapai peringkat akhir penyelesaian tunggakan kewangan tahun 2023 dan penyelesaian penuh tunggakan sebelum 20 April 2024 bagi memenuhi syarat untuk mengekalkan lesen kebangsaan bagi bertanding dalam Liga Malaysia musim ini.

"Sehingga jam 3.00 petang hari ini, KDA FC telah berjaya mengumpul dana sebanyak 90 peratus bagi tujuan melunaskan baki 50 peratus hutang gaji yang tertunggak bagi tujuan pelesenan MFL (Liga Bolasepak Malaysia).

"Di kesempatan ini, kami dengan penuh rendah diri memohon bantuan peminat dan penyokong atau sesiapa sahaja untuk bersama-sama membantu melengkapkan jumlah kewangan yang diperlukan sebelum 20 April menerusi skim-skim yang akan diperkenalkan dalam masa terdekat seperti penjualan pas bermusim, kad keahlian, jersi pramusim dan pelbagai lagi produk dan perkhidmatan yang akan kami tawarkan."