Cristiano Ronaldo didapati mengalami kecederaan menjelang perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di antara Manchester United dan West Ham malam ini.

Bintang Portugal itu beraksi selama 71 minit ketika pasukannya menewaskan Brentford 3-1 kelmarin sebelum dikeluarkan -- satu keputusan yang jelas membuatkannya tidak berpuas hati.

Pengurus interim, Ralf Rangnick, menegaskan bahawa dia tidak mempunyai sebarang masalah seandainya ada pemain yang kecewa selepas dikeluarkan dan ia tidak akan menjejaskan peluang pemain itu untuk beraksi menentang The Hammers di Old Trafford.

Bagaimanapun, Rangnick kemudian mengesahkan bahawa Ronaldo mengalami kecederaan leher sewaktu menentang Brentford dan mungkin terpaksa direhatkan.

"Cristiano masih menjadi tanda tanya kerana dia mengalami kecederaan di lehernya," kata Rangnick kepada MUTV.

"Dia menjalani rawatan selama dua hingga tiga jam semalam dan kami akan menunggu untuk melihat bagaimana perasaannya hari ini."



Edinson Cavani terlepas perlawanan di Stadium Komuniti Brentford kelmarin dan bergelut untuk pulih secepat mungkin untuk menghadapi West Ham bimbingan David Moyes malam ini.

"Edi masih belum berlatih bersama pasukan dan kami berharap dia akan kembali menyertai latihan hari ini dan kami kemudian akan membuat keputusan akhir selepas sesi latihan itu sama ada dia dapat diturunkan dalam perlawanan atau tidak," tambah Rangnick.

Kehilangan Ronaldo dan Cavani akan membuatkan United kekurangan penyerang, di mana Anthony Martial hampir pasti akan meninggalkan kelab itu.

Rangnick tidak menurunkan Martial sejak pasukannya terikat 2-2 dengan Aston Villa hujung minggu lalu dengan berkata pemain kebangsaan Perancis itu telah memberitahunya bahawa dia tidak lagi mahu terlibat -- dakwaan yang kemudian dinafikan Martial.

Jesse Lingard berpeluang untuk berdepan kelab yang meminjamnya sepanjang musim lalu itu manakala Jadon Sancho, yang terlepas perlawanan menentang Brentford kerana pengkebumian ahli keluarganya, turut berpeluang untuk beraksi.