Harry Kane perlu meninggalkan Tottenham untuk menyertai Manchester United seandainya dia mahu memenangi trofi dalam kariernya, kata bekas pertahanan sayap The Red Devils, Gary Neville.

Kapten England itu menghabiskan seluruh kariernya di Spurs walaupun kerap dikaitkan untuk meninggalkan kelab itu, dengan yang paling diingati ketika dia meminta untuk menyertai Manchester City pada 2021 sebelum bersetuju untuk kekal di London.

Pemain berusia 29 tahun itu tetap melalui musim yang produktif, di mana dia menjaringkan 18 gol daripada 25 penampilan terakhir dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) tetapi masih belum dapat memenangi sebarang gelaran utama bersama Spurs, yang tersingkir daripada saingan Piala FA selepas tewas kepada Sheffield United awal pagi semalam.

Bercakap kepada Sky Sport News, Neville berkata Kane sepatutnya meninggalkan kelab itu pada penghujung kempen kali ini dan percaya bekas kelabnya, United, merupakan destinasi paling realistik buat penyerang itu.

"Saya fikir Harry Kane sudah pasti mahu memenangi trofi.

"Dia akan melihatnya sebagai satu situasi, di mana dia telah memberikan komitmen kepada Tottenham sepanjang lima tahun terakhir ini dan dia telah melakukan apa yang telah dilakukan oleh beberapa pemain lain.

"Tetapi jika Harry mahu meninggalkan pasukan itu, saya fikir ini adalah waktunya.

"Dia seorang pemain yang luar biasa, seorang profesional yang hebat dan saya fikir, jika Harry Kane mahu meninggalkan kelab itu dan anda boleh membawanya ke salah satu kelab Manchester, United atau City, saya fikir dia akan mengambil peluang itu.

"Dia mungkin tidak akan ke City berdasarkan perbelanjaan yang telah mereka keluarkan untuk mendapatkan (Erling) Haaland tetapi Manchester United kelihatan terdesak untuk mendapatkan seorang penyerang tengah.

"Chelsea, saya tidak lihat dia akan ke sana. Dia agak setia dengan Tottenham dan terdapat perseteruan yang besar dengan Chelsea, jadi saya tidak fikir ia akan berlaku walaupun mereka juga memerlukan seorang penyerang tengah.

"Dia juga tidak akan ke Arsenal kerana perseteruan berkenaan, jadi hanya Manchester United pilihannya jika Harry Kane mahu kekal di England musim panas ini," katanya.