Virgil van Dijk mengakui prestasinya kini bukan di tahap terbaik tetapi berkata pemain bola sepak "bukannya robot" selepas menerima kritikan pedas daripada Marco van Basten dan Ruud Gullit.

Peranan pertahanan Liverpool itu sebagai kapten skuad kebangsaan Belanda dipertikaikan oleh Van Basten selepas tewas 0-4 di tangan Perancis dalam pusingan kelayakan Euro 2024 pada Jumaat lalu.

Legenda Belanda, Van Basten, berkata Van Dijk "hanya membuat bising tetapi tidak berkata apa-apa" dan mencetuskan huru-hara sehingga timbul kekeliruan di atas padang.

Seorang lagi bekas pemain kebangsaan Belanda, Gullit, juga turut berkata -- ketika bertindak sebagai pemerhati bersama Van Basten bersama Ziggo Sport -- bahawa Van Dijk berfikir dia lebih baik berbanding pemain lain.

Walaupun Vin Dijk terbuka untuk menerima pandangan sesiapa, dia berasakan kritikan ke atasnya itu bukan sesuatu yang adil.

"Amat jelas kami bermain dengan buruk. Saya salah seorang pemain berpengalaman jadi ia jelas sesuatu yang tidak adil.

"Hari ini, semua orang dibenarkan untuk memberikan pandangan, itulah kesnya. Adakah saya menetapkan satu penanda aras yang tinggi? Saya tidak pernah sempurna.

"Tetapi kami memperoleh banyak kejayaan bersama pasukan ini. Pemain bola sepak (Van Basten dan Gullit) patut lebih memahaminya berbanding orang lain, pemain dan pasukan mempunyai kemuncak tertinggi dan jurang terdalam.

"Ia sesuatu yang normal apabila anda tidak sentiasa beraksi tekal. Anda memiliki fasa sebagai kelab atau pemain, di mana anda mencari tahap terbaik anda. Semua orang tidak boleh lupakan perkara itu.


"Adalah normal untuk manusia melakukan kesilapan, ia sebahagian daripada bola sepak dan ia amat manusiawi.

"Anda pasti lebih tahu berbanding orang lain apabila anda melakukan sesuatu yang betul atau silap. Ia waktu yang sukar di kelab saya, dengan banyak turun-naiknya.

"Saya amat positif mengenai masa depan dan saya mencuba untuk mempamerkan permainan terbaik saya dalam setiap perlawanan.

"Kami bukan robot. Jangan lupakan perkara itu. Mungkin adakalanya mereka lupa akan perkara itu," katanya.