Pemain pertahanan England dan Manchester United, Phil Jones, memuji rakan sepasukannya, Jesse Lingard, selepas mempamerkan peningkatan prestasi bersama kelab dan negara.

Lingard merupakan salah seorang penjaring gol sewaktu England membelasah Panama 6-1 dalam aksi Piala Dunia 2018, Sabtu lalu, sekali gus mengesahkan tempat ke pusingan kedua dari Kumpulan G.

Pemain tengah itu melakukan hantaran satu-dua dengan Raheem Sterling sebelum melepaskan rembatan lencong yang tepat ke penjuru kanan gawang.

Jones, yang masih belum beraksi di Russia, lantas memuji pemain berusia 25 tahun itu.

"Saya menyaksikannya setiap minggu. Lingard melakukannya dalam setiap sesi latihan. Sejak menyertai skuad utama United, dia berkembang dengan baik," kata Jones.

"Jelas sekali dia seorang pemain yang berbakat dan secara teknikal, Lingard bagus menerusi kedua-dua kaki.

"Dia telah menemui sentuhannya dan sukar untuk mengekangnya. Lingard adalah aset utama kelab dan negara," ujarnya.

Tatkala England telah mengesahkan tempat dalam pusingan16, Jones mungkin berpeluang untuk beraksi dalam pertemuan dengan Belgium dan pemain berusia 26 tahun itu menyifatkan perlawanan itu sebagai sesuatu yang ingin disertainya memandangkan skuad kendalian Roberto Martinez itu dibarisi rata-rata pemain daripada Liga Perdana Inggeris.

"Ia mirip kepada perlawanan Liga Perdana Inggeris.

"Kami tahu siapa yang akan dihadapi, kami mengenali pemain-pemain mereka dan tahu apa yang perlu dilakukan."