Pep Guardiola telah mentertawakan cadangan bahawa dia harus khuatir berhubung jumlah peluang yang Erling Haaland bazirkan musim ini.

Pengurus Manchester City itu percaya sesiapa sahaja yang mengatakan warga Norway yang prolifik itu sering melepaskan peluang berharga akan terbukti silap dan tidak lama lagi terpaksa meminta maaf.

Haaland merakamkan 52 gol dalam kempen sulungnya di City musim lalu sementara tujuh dalam lapan penampilan musim ini.

Namun, analisis menunjukkan dia telah terlepas 12 peluang menarik musim ini, sembilan daripadanya berada dalam dua perlawanan terakhirnya ketika bertemu West Ham dan Red Star Belgrade, manakala selepas lapan perlawanan musim lalu, statistik menunjukkan dia telah menjaringkan 12 gol dengan lapan peluang disia-siakan.

“Saya tidak akan tidur malam ini!”

Seloroh Guardiola apabila statistik berkenaan ditunjukkan kepadanya dalam sidang akhbar bagi pertembungan di antara juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu dengan Nottingham Forest malam ini.




“Dia mempunyai peluang luar biasa dan dia sepatutnya menjaringkan 14-15 gol ketika ini. Apa yang penting dia selalu berkata, ‘Saya ada peluang, saya ada peluang, saya ada peluang. Masalahnya ialah apabila jika saya tidak mempunyai peluang atau saya tidak mendapat bola atau saya berada di kedudukan yang tidak tepat’.

“Nasihat saya, jangan terlalu mengkritik Erling. Mengkritik bek sayap, pertahanan tengah atau pengurus dibolehkan lagi tetapi jangan sekali-kali terhadap penyerang yang menjaringkan semua gol itu kerana dia akan membuktikannya.

"Kemudian anda akan berada di kedudukan di mana anda perlu meminta maaf kepadanya.”