Jangan bimbang! Pesan Pele buat peminat
Ammar Hakim
December 10, 2021 10:19 MYT
December 10, 2021 10:19 MYT
Pele telah meredakan kebimbangan mengenai kesihatannya apabila legenda Brazil itu bercakap secara positif mengenai rawatan tumor kolon yang sedang dijalaninya di Sao Paulo.
Dalam mesej kepada pengikutnya di Instagram, lelaki berusia 81 tahun itu tersenyum ketika berada di katil hospitalnya.
Pemenang Piala Dunia tiga kali itu memerlukan pembedahan untuk membuang tumor kolon September lalu dan sejak itu terus menjalani kemoterapi sebagai sebahagian daripada proses pemulihan.
Hospital Albert Einstein mengesahkan Rabu lalu bahawa Pele telah dimasukkan ke hospital semula, menyatakan dia berada dalam keadaan stabil dan dalam perjalanan untuk pulang ke rumah dalam beberapa hari.
Pele mengesahkan itu adalah niatnya, kerana dia menulis: "Kawan-kawan, sejak 30 September, ketika saya meninggalkan hospital, anda tahu bahawa saya telah menjalani sesi kemoterapi kecil sebagai sebahagian daripada rawatan saya.
"Hari ini saya berada di Albert Einstein melakukan sesi terakhir 2021. Saya ingin berkongsi pencapaian ini dengan anda. Lagipun, setiap kemenangan kecil adalah alasan untuk diraikan, bukan?
"Saya akan melakukan beberapa lagi ujian dan akan berada di sini untuk beberapa hari lagi. Jangan risau, saya baru bersiap untuk musim cuti!"
Menjawab mesej Pele, penyerang Manchester United dan Portugal Cristiano Ronaldo menulis: "Kekuatan, kawan."
Pele menjalani pembedahan prostat pada 2015 selepas dimasukkan ke hospital dua kali dalam tempoh enam bulan, dan dia dimasukkan ke hospital semula kerana jangkitan kuman pada 2019.
Bekas penyerang Santos dan New York Cosmos itu adalah satu-satunya pemain yang memegang tiga pingat pemenang Piala Dunia, membantu Brazil menjulang trofi pada 1958, 1962 dan 1970.
Pemain berusia 81 tahun itu juga merupakan salah seorang daripada hanya empat pemain yang menjaringkan gol dalam empat Piala Dunia berbeza, manakala dia kekal sebagai penjaring gol terbanyak sepanjang zaman Brazil, setelah meledak 77 kali dalam 92 penampilan untuk Selecao.