James Maddison telah berjanji untuk mengisi kekosongan kreatif di Tottenham selepas dia mengakui rasa tidak dapat dielakkan untuk menyertai kelab itu.

Pemain antarabangsa England itu melengkapkan perpindahan GBP40 juta ke Spurs dari Leicester pada Jun dan akan membuat penampilan sulungnya pada aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris malam ini bertemu Brentford.

Ia akan menandakan permulaan era baharu untuk Tottenham dengan perasaan bercampur baur dalam kalangan peminat susulan perpindahan Harry Kane ke Bayern Munich dimuktamadkan semalam.


Walaupun penghijrahan Kane pahit untuk ditelan, masih ada keyakinan tentang penjenamaan baru dalam jentera serangan di bawah kendalian pengurus, Ange Postecoglou, yang bakal menjadikan Maddison sebagai tunjang utama pasukan.

Bercakap pada acara Sukan TNT minggu lalu sebelum penghijrahan Kane, Maddison berkata, “Ketika saya bercakap dengan ejen saya tentang pemindahan kelab dan anda datang ke tempat di mana anda perlu membuat keputusan, ke mana anda mahu pergi dan apa yang anda fikir paling sesuai , saya sebenarnya boleh melihat diri saya bermain untuk Spurs.

“Sebelum ini mungkin peluang saya agak tipis untuk bermain di Tottenham Hotspur, kerana mereka sentiasa memiliki kualiti pemain yang kreatif.

“Namun saya kini pasti dapat melihat diri saya sendiri, ketika membuat keputusan, bermain untuk Tottenham, menyarung jersi ini, di stadium itu dan menjadi pemain kreatif yang untuk pasukan ini.

“Saya sentiasa mempunyai keyakinan diri yang kuat dan saya akan sentiasa menyokong diri saya dan keupayaan saya sendiri untuk berjaya. Ia tidak mengecewakan saya setakat ini jadi saya akan terus mempunyai pemikiran dan sikap itu. Saya hanya melihat diri saya bermain di Tottenham.”