Itali sudah sedia bersaing dengan pasukan terbaik Eropah, kata Evani
Muzaffar Musa
November 19, 2020 09:25 MYT
November 19, 2020 09:25 MYT
Itali sudah bersedia untuk menguji keupayaan mereka menentang pasukan terbaik Eropah selepas mengesahkan tempat dalam pusingan akhir Liga Negara-Negara Eropah (UNL), kata jurulatih gantian pasukan itu, Alberigo Evani.
Skuad Azzuri itu menewaskan Bosnia-Herzegovina 2-0 di Stadium Grbavica awal pagi tadi untuk menamatkan saingan Kumpulan A1 itu selaku pasukan terbaik dengan kelebihan satu mata ke atas Belanda.
Itali kini tidak pernah tewas dalam 22 perlawanan di mana ia merupakan rekod terbaik mereka sejak 2006 -- ketika mereka memenangi Piala Dunia.
Belgium, Sepanyol dan juara dunia, Perancis, turut layak menyertai pusingan akhir itu Oktober depan, yang berkemungkinan akan dianjurkan di Itali, dan Evani berasa teruja untuk melihat kemampuan pasukannya untuk menghadapi lawan terbaik di Eropah.
"Ia pasti baik untuk membandingkan diri kami dengan beberapa pasukan terbaik di sini," katanya kepada RAI Sports.
"Kita sedang bercakap mengenai pasukan terbaik di Eropah dan saya tidak sabar untuk melihat tahap kami.
"Kami fikir kami sudah hampir untuk bersaing dengan mereka tetapi kami perlu melihatnya apabila menghadapi mereka tahun depan," katanya.
Andrea Belloti dan Domenico Berardi berada dalam senarai penjaring di Sarajevo di mana Itali merekodkan tiga kemenangan daripada tiga perlawanan tanpa bolos sepanjang November ini.
?? Italy in control as Belotti and Berardi net for Azzurri ?#NationsLeague pic.twitter.com/nmCG5d76Nn
— UEFA Nations League (@EURO2020) November 18, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Ketiga-tiga perlawanan itu dilalui tanpa ketua jurulatih, Roberto Mancini, yang terpaksa menjalani pengasingan kendiri selepas positif koronavirus, dan penolongnya, Evani, perlu mengambil tanggungjawab itu buat sementara waktu.
Selepas menewaskan Bosnia-Herzegovina untuk melengkapkan misi mereka dalam UNL, Evani mendedikasikan kemenangan itu kepada Mancini.
"Kami bercakap dengannya setiap hari -- dia tahu apa yang sedang berlaku," tambah Evani.
"Pemain kami telah memberikannya hadiah dan kepuasan terbaik.
"Mereka melakukannya tanpa ketua jurulatih. Mereka berada dalam kumpulan yang luar biasa.
"Saya mahu berterima kasih kepada mereka kerana memberikan segala-galanya ketika menyarung jersi ini dan mendapatkan tiga kemenangan daripada tiga aksi yang meyakinkan.
"Saya hanya mampu berterima kasih kepada mereka semua," tambahnya.