Itali pasang hasrat pertahan kejuaraan Euro 2024

Najmi Iman
June 9, 2024 08:39 MYT
Ketua jurulatih, Luciano Spalletti, menggesa anak-anak buahnya untuk terus bercita-cita tinggi demi mengekalkan kejuaraan Eropah meskipun dilihat sebagai bukan pasukan pilihan.
Skuad Itali akan bertandang ke Jerman bagi menghadapi kejohanan Euro 2024 sebagai juara bertahan setelah menewaskan England menerusi penentuan sepakan penalti ketika perlawanan akhir Euro 2020 di Stadium Wembley.
Namun, skuad Azzurri di jangka tempang mengharungi pertandingan tersebut akibat dibelenggu masalah kecederaan yang serius.
Terbaru, pemain pinjaman dari Juventus, Luca Pellegrini, terpaksa dibawa keluar akibat pelanggaran bersama pemain Turki dan sedang menunggu status mengenai tahap kecederaannya.
Sebelum ini, pertahanan kental Inter Milan, Francesco Acerbi Cavaliere, bersama gandingannya, Giorgio Scalvini, dikeluarkan daripada senarai pemain yang akan mewakili Itali ke kojahanan berprestij itu selepas turut mempunyai masalah kecergasan yang kurang memuaskan.
Kendatipun begitu, pengendali berusia 65 tahun itu tetap yakin dengan kemampuan pemainnya mampu mencipta kejutan dan memberikan cabaran kepada pasuka lawan.
"Kami tidak akan berundur kerana kami sudah tekad untuk memenangi perlawanan sejak dari awal kami menyarung jersi bermaruah ini.
"Kami mengakui bahawa pasukan ini mengalami sedikit masalah tetapi kami harus bertanggungjawab untuk memacu perjalanan pasukan ke tahap yang lebih tinggi," katanya.
#bola sepak #Luciano Spalletti #Itali #Euro 2024
;