Isu tunggakan gaji membabitkan bekas pemain Melaka United dan Sarawak United musim lalu tampak menunjukkan perkembangan positif untuk menemui titik noktah.

Ini selepas sesi pendengaran di antara Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFAM), Majlis Resolusi Pertikaian Kebangsaan (NDRC) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) di Wisma FAM hari ini.

PFAM mengambil langkah proaktif untuk membela nasib bekas pemain dua kelab berkenaan, yang dibelenggu masalah tunggakan gaji musim lalu.

Bagi menjawab mengenai situasi berkenaan, Ekeskutif Perundangan PFAM, Syafiq Jebat, berkata kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam: "Sebenarnya ini merupakan perbicaraan kali kedua.

"Kali pertama, kami pernah membicarakannya dan mendapat keputusan dalam tempoh empat hari.

"Jadi, saya boleh katakan dalam tempoh seminggu lagi, kita akan memndapatkan keputusan dan selepas itu, selalunya akan ada satu tempoh lagi yang diberikan oleh NDRC untuk kelab berkenaan melakukan pembayaran.

"Untuk menguatkuasakan keputusan daripada NDRC itu, jika pasukan berkenaan -- seperti Melaka United -- tidak lagi berada dalam piramid bola sepak, ia akan dikuatkuasakan melalui mahkamah.

"Untuk Sarawak United pula, ia perlu melalui proses untuk ke jawatankuasa tatatertib terlebih dahulu dan selepas itu barulah kami akan membawanya ke peringkat mahkamah.

"Untuk perbicaraan kali ini, ia melibatkan 18 pemain Melaka United dan 16 orang pemain Sarawak United," katanya.