Ketika aksi kesilapan Onana pada pertembungan Manchester United dengan Galatasaray awal pagi tadi masih diperdebatkan dikalangan penyokong setia United hari ini, kesukaran kelab gergasi Liga Perdana Inggeris itu nampaknya tidak sedikit.

Beberapa hari lalu timbulnya isu besar membabitkan kelab itu turut tersebar dan hangat diperdebatkan dikalangan pemerhati bola sepak antarabangsa dan juga media utama eropah apabila Red Devils kini berkemungkinan berdepan halangan daripada menyertai kancah Liga Juara-Juara 2024/25.

Ia membabitkan masalah peraturan pemilikan kelab ‘multi-club ownership’ oleh UEFA berikutan keterlibatan Sir Jim Ratcliffe yang dilaporkan sedang dalam perancangan untuk membeli 25 peratus kepentingan dalam Manchester United.

Dalam masa yang sama jutawan terkenal itu juga merupakan pemilik kepada kelab dari ligue 1 Perancis iaitu Nice.

Ia jelas akan memberikan implikasi yang besar seandainya ia benar-benar berlaku kerana badan induk bola sepak Eropah itu tidak membenarkan dua kelab yang dimiliki oleh individu sama beraksi dalam Liga Juara-Juara pada satu musim.

Menurut media antarabangsa, perkara itu juga ditegaskan oleh jurucakap UEFA yang mengulangi keperluan semua kelab memenuhi peraturan dan ketetapan yang telah diputuskan sebelum ini.

“Seperti peraturan yang ditetapkan, ia adalah situasi yang jelas. Ineos memiliki Nice dan bersedia untuk memainkan peranan penting dalam mengendalikan United. Melainkan peraturan diubah, atau Ineos menjual salah satu kepentingan mereka, mereka tidak boleh bermain dalam pertandingan Eropah, melainkan satu dalam Liga Juara-Juara dan satu lagi dalam Liga Persidangan." Jelas kenyataan tersebut.