Isco dijangka terus berkhidmat untuk Real
Penulis Jemputan
August 9, 2017 08:21 MYT
August 9, 2017 08:21 MYT
Pemain tengah Real Madrid, Isco, dijangka akan menandatangani kontrak baru bersama kelab itu selepas mempamerkan persembahan terbaik ketika membantu pasukan meraih kemenangan ke atas Manchester United.
Pemain kebangsaan Sepanyol itu menjaringkan gol kedua selepas Casemiro meletakkan Real di depan pada separuh masa pertama, tetapi jaringan Romule Lukaku tidak mencukupi untuk menghalang juara Eropah itu melakar kemenangan 2-1 di Skopje, awal pagi tadi.
Masa depan Isco menjadi perbualan utama sejak beberapa minggu ini, dengan pemain berusia 25 tahun itu dijangka akan melanjutkan kontraknya yang bakal berakhir tahun depan walaupun menegaskan dia tidak mahu meninggalkan kelab tersebut.
Bagaimanapun, Isco telah menjelaskan keinginannya untuk kekal di Santiago Bernabeu.
"Kami sangat hampir dan ia akan diselesaikan tidak lama lagi," kata Isco.
Isco mengakui Real telah diberikan tekanan oleh United di penghujung perlawanan tetapi mereka berhak untuk meraih gelaran Piala Super UEFA buat kali ketiga sejak 2014.
"Secara keseluruhannya, ia merupakan perlawanan yang sangat baik. Cuma terpaksa menghadapi tekanan di penghujung perlawanan.
"Mereka memiliki pemain-pemain berkualiti dan bermula dengan baik tetapi permainan kami lebih sempurna dan berhak menjadi juara."