Inaki Williams pilih wakili Ghana berbanding Sepanyol

Muzaffar Musa
July 6, 2022 13:49 MYT
Pemain Athletic Bilbao, Inaki Williams, mengumumkan bahawa dia akan mewakili Ghana di peringkat antarabangsa -- termasuk dalam Piala Dunia Qatar, November depan -- walaupun pernah diturunkan bersama skuad kebangsaan Sepanyol.
Dilahirkan di Bilbao daripada ibu-bapa berbangsa Ghana, Williams pernah melakukan satu penampilan bersama skuad senior La Roja tetapi dalam aksi persahabatan -- di mana dia dimasukkan sebagai pemain gantian ketika menentang Bosnia-Herzegovina pada 2016.
Dia juga pernah mewakili Sepanyol dalam Euro B-21 pada 2017 tetapi ketetapan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada 2003 membolehkan dia mewakili Ghana berdasarkan situasi Tim Cahill yang dibenarkan mewakili Australia biarpun pernah mewakili Samoa Barat di peringkat umur.
Menerusi satu kiriman media sosial, penyerang berusia 28 tahun itu berkata bahawa pemilihan itu merupakan satu peluang untuk dia mempunyai hubungan yang lebih mendalam dengan asal-usul keluarganya.
"Setiap langkah ke depan yang kita ambil mempunyai makna tersendiri - sekilas padangan ke masa depan akan meninggalkan kesannya sendiri.
"Satu legasi. Ibu-bapa saya telah membesarkan saya dengan nilai murni berdasarkan kerendahan hati, hormat dan kasih sayang.
"Kerana itu saya berasakan sudah tiba masanya untuk saya mencari asal-usul saya -- di antara diri saya dengan Afrika dan Ghana, di mana ia amat-amat bermakna buat saya dan keluarga saya," katanya.

??? @ghanafaofficial pic.twitter.com/t5cSzOcIfB

— IÑAKI WILLIAMS (@Williaaams45) July 5, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#bola sepak #Ghana #Athletic Bilbao #LaLiga #Sepanyol
;