Ibrahimovic dibuang padang kerana tampar pemain lawan
Penulis Jemputan
May 22, 2018 08:28 MYT
May 22, 2018 08:28 MYT
MONTREAL IMPACT 0 LA GALAXY 1
Jaringan tunggal Ola Kamara membolehkan LA Galaxy meraih kemenangan 1-0 di tempat lawan dalam saingan Bolasepak Liga Utama (MLS), semalam.
Bagaimanapun, kemenangan itu disertakan dengan kad merah yang dilayangkan buat penyerang utama, Zlatan Ibrahimovic, dalam aksi babak pertama selepas didapati menampar Michael Petrasso.
Bekas penyerang Manchester United itu menampar pemain lawan di belakang kepala selepas Petrasso dilihat cuba membelakangkan pemain dari Sweden itu serta cuba memijak kakinya.
Selepas menerima bantuan daripada Video Bantuan Pengadil (VAR), pengadil perlawanan, Ismail Elfath, melayangkan kad kuning buat Petrasso dan memerintahkan Ibrahimovic meninggalkan padang serta-merta.
Dalam aksi di Stadium Saputo itu, Kamara muncul wira buat pelawat apabila menyambut bola tandukan Emrah Klimenta, sebelum mengatasi dua pemain pertahanan lawan dan menewaskan penjaga gol tuan rumah, Evan Bush, menerusi rembatan rendah pada minit ke-75.
Kemenangan itu menyaksikan Galaxy kini berada di tangga ketujuh dalam saingan Wilayah Barat manakala Montreal yang gagal meraih kemenangan dalam tiga aksi terakhir berada di kelompok bawahan bagi saingan Wilayah Timur.