Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, mengakui Liverpool kini adalah pasukan pilihan untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas pasukannya terikat tanpa jaringan dengan Arsenal awal pagi tadi.

Selepas Liverpool bangkit menewaskan Brighton 2-1 dalam perlawanan lebih awal, pasukan bimbingan Jurgen Klopp itu kini mendahului dua mata di atas The Gunners dan tiga mata di atas City.

Menjuarai EPL sepanjang tiga musim terakhir, City kelihatan mempunyai tabiat untuk mengesahkan kejuaraan pada perlawanan terakhir tetapi Guardiola mengakui bahawa perebutan kejuaraan tahun ini bukan terletak di tangan mereka.

"Pasukan yang di atas sentiasa pasukan pilihan," kata Guardiola ketika ditanya sama ada Liverpool merupakan pasukan pilihan untuk menjuarai liga.

"Pasukan pilihan kedua ialah Arsenal dan kami ketiga... Ia bukan lagi di tangan kami.

"Apa yang kami boleh lakukan ialah memikirkan mengenai perlawanan seterusnya menentang Aston Villa.

"Apabila kami berada di tangga teratas, kami sentiasa menjadi pasukan pilihan. Ia terletak di tangan kami. Jadi ia kini tidak. Semudah itu," katanya.