Cristiano Ronaldo tidak mempunyai klausa dalam kontrak Al Nassr untuk membolehkannya menyertai Newcastle United andai mereka layak ke Liga Juara-Juara (UCL), kata Eddie Howe.

Pemilik lima Ballon d'Or itu diperkenalkan oleh kelab Arab Saudi berkenaan malam tadi selepas menandatangani perjanjian selama dua setengah tahun sebaik meninggalkan Manchester United.

Menurut laporan kelmarin, penyerang Portugal itu meletakkan syarat agar dibenarkan kembali ke EPL bersama Newcastle yang disokong konglomerat Arab Saudi jika mereka menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas musim ini.




Bagaimanapun, pengurus Newcastle itu menafikan perkara sedemikian.

"Kami mendoakan yang terbaik buat Cristiano tetapi daripada sudut pandangan kami tidak ada kebenaran dalam hal ini," kata Howe kepada Sky Sports.

Ronaldo merupakan penjaring terbanyak UCL dengan 140 gol dan telah memenangi pertandingan itu bersama United sekali dan empat kali untuk Real Madrid.