Di sebalik kejayaan Harimau Malaya menundukkan Turkmenistan buat kali kedua berturut-turut, tumpuan khusus terarah kepada pemain naturalisasi, Paulo Josue serta Endrick dos Santos yang memainkan watak penting di bahagian tengah skuad Kim Pan-gon.

Sudah pasti debut yang cukup bermakna buat pemain kelahiran Brazil itu memberi kesan domino bukan hanya terhadap kekuatan Harimau Malaya, malah turut merasai impak positif itu, pasukan KL City.

Ianya berikutan, sentuhan dan kepimpinan kapten The City Boys itu akan terus ditagih Bojan Hodak untuk mengharungi dua aksi getir, bermula dengan pertemuan menentang Selangor sebelum bertemu Sabah.

Menerusi perkongsian bersama wartawan Karl Nunis, Hodak berasakan keyakinan yang diperoleh Paulo mampu menjadi pencetus kebangkitan prestasi naib juara Piala AFC itu, demi mencari kemenangan sulung musim ini.

"Ini adalah motivasi terbaik buat Josue. Anda dapat melihat dia beraksi dengan baik dan beraksi di peringkat antarabangsa ternyata meningkatkan lagi motivasinya dan saya percaya memiliki beberapa tahun lagi untuk beraksi di tahap tertinggi," kata Hodak.

Sementara itu, Hodak turut berkongsi kerisauannya terhadap senarai pemain yang terpaksa diketepikan menjelang derbi Lembah Klang hujung bulan ini.

Akram Mahinan serta Zhafri Yahya dibelenggu kecederaan tisu otot dan ligamen, tatkala Sebastian Avanzini digantung satu perlawanan setelah menerima tiga layangan kad kuning.