Hernandez: Mexico pamer aksi terbaik untuk raih kemenangan
Penulis Jemputan
June 25, 2017 08:12 MYT
June 25, 2017 08:12 MYT
RUSSIA 1 MEXICO 2
Bintang Mexico, Javier Hernandez, percaya kerja keras yang dipamerkan oleh pasukannya membuahkan hasil selepas melayakkan diri ke separuh akhir saingan Piala Konfederasi.
Skuad kendalian Juan Carlos Osorio itu bangkit selepas ketinggalan satu jaringan untuk menewaskan pasukan tuan rumah, Russia, 2-1 di Kazan, sekaligus melayakkan diri ke pusingan separuh akhir bersama juara Kumpulan A, Portugal.
Osorio memuji semangat yang dipamerkan pemain-pemainnya selepas ketinggalan satu gol dalam tiga perlawanan berturut-turut dan berjaya melakar kemenangan yang sangat bermakna.
Aleksandr Samedov membuka jaringan seawal minit ke-25 buat pasukan tuan rumah sebelum Nestor Araujo menyamakan kedudukan lima minit berikutnya.
Mexico berjaya mendahului pada minit ke-50 selepas Hirving Lozano berjaya menewaskan penjaga gol Russia, Igor Akinfeev, sekaligus membantu pasukan meraih tiga mata berharga.
Hernandez turut bersetuju bahawa semangat yang dimiliki oleh pasukan merupakan kunci utama mereka mara ke pusingan seterusnya.
"Penjaring gol bukan hanya wira dan pemain yang membuat kesilapan bukanlah penjahat. Kami bermain, berlari dan telah cuba memberikan yang terbaik," katanya.
"Kami mahu memenangi perlawanan untuk menikmati kegembiraannya untuk diri kami, keluarga dan semua rakyat Mexico."
Mexico bakal bertemu juara Kumpulan B, sama ada Chile atau Jerman, dalam separuh akhir di Sochi, Khamis ini tetapi Hernandez tidak bimbang dengan pasukan mana yang perlu mereka hadapi.
"Kami mahu memenangi kejohanan ini, tidak kira siapa lawan kami.
"Mereka adalah dua pasukan yang berkualiti di dunia dan sasaran kami adalah mara ke final dan menang."