Eden Hazard menyokong rakan sepasukannya di Real Madrid, Karim Benzema, untuk memenangi Anugerah Ballon d'Or sambil berasakan seorang lagi ahli pasukannya, Thibaut Courtois, patut berada dalam senarai lima teratas.

Benzema menikmati musim yang luar biasa, di mana dia menjadi inspirasi Madrid memenangi gelaran Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan LaLiga.

Pemain kebangsaan Perancis itu menjaringkan 15 gol dalam UCL, di mana 10 daripadanya terhasil dalam pusingan kalah mati, untuk dia dinamakan sebagai pemain terbaik kejohanan itu.

Tonggak Madrid itu turut menamatkan musim dengan 44 gol dan 15 bantuan jaringan dalam kesemua kejohanan -- hanya Kylian Mbappe (60) dapat mengatasi 59 penglibatan gol Benzema dalam kalangan pemain sekitar lima liga utama Eropah.

Dalam pada itu, Courtois pula membintangi aksi final sewaktu mereka menewaskan Liverpool 1-0 di Paris hujung minggu lalu dengan melakukan sembilan aksi menyelamat -- rekod tertinggi dakan satu perlawanan akhir UCL sejak Opta mula mengumpulkan data itu musim 2003-04.

Ia menyaksikan penjaga gol kebangsaan Belgium itu kelihatan sebagai antara calon untuk merebut Ballon d'Or tahun ini tetapi Hazard percaya bahawa Benzema merupakan individu paling layak untuk memenangi anugerah berkenaan.

"Saya mengenalinya (Courtois) sejak 10 yahun lalu dan dia telah melakukan perkara seperti ini sepanjang 10 tahun lalu," kata Hazard dalam sidang media Liga Negara-Negara Eropah.

"Dia telah membuktikannya sewaktu di Chelsea dan kini bersama Real. Courtois, (Kevin) De Bruyne, (Sadio) Mane, Vinicius (Junior), mereka semua memiliki musim yang baik.

"Tetapi saya masih beranggapan bahawa Benzema layak untuk menang. Courtois patut berada dalam senarai lima teratas.

"Apabila anda melihat bagaimana Benzema bermain dalam suku akhir dan separuh akhir, ia benar-benar menarik," katanya.