Eden Hazard mengakui bahawa Belgium perlu menjulang trofi jika mahu menepati gelaran 'generasi emas' yang telah dipikul mereka sejak hampir sedekad.

Pasukan kebangsaan Belgium diperkuatkan dengan pemain yang beraksi dalam liga-liga utama Eropah, termasuk nama-nama besar seperti Hazard, Romelu Lukaku, Kevin De Bruyne dan Thibaut Courtois.

The Red Devils menamatkan lima daripada tujuh tahun terakhir ini di kedudukan rangking teratas dunia tetapi masih bergelut untuk mencipta impak dalam kejohanan utama.

Mereka tersingkir dalam suku akhir dua edisi Kejohanan Eropah terakhir dan turut menamatkan saingan di peringkat sama dalam Piala Dunia 2014.

Belgium hanya sekali mengakhiri kempen di kedudukan lebih baik, iaitu dalam separuh akhir Piala Dunia Russia 2018, di mana mereka tewas kepada Perancis, dan Hazard berkata sasaran dalam Piala Dunia Qatar bulan depan adalah untuk melangkaui kesemua pencapaian itu.

"Akan sentiasa ada cakap-cakap mengenai 'generasi emas' tetapi ada kebenaran mengenainya," kata Hazard, yang bergelut mendapatkan minit permainan bersama Real Madrid musim ini, kepada laman web rasmi FIFA.

"Kami sudah menghabiskan hampir 10 tahun bersama. Kini, kami mempunyai pemain muda yang sedang mula menembus masuk.

"Kami mempunyai generasi pemain yang luar biasa tetapi kami masih belum menang apa-apa. Jika kami mahu digelar 'generasi emas', itulah satu-satunya perkara yang perlu kami lakukan.

"Pengalaman kami secara kolektif telah membantu kami dalam kejohanan lalu, jadi saya harap ia akan berterusan untuk bebrapa masa lagi," katanya.