Harry Kane, Alphonso Davies beri Bayern Munich kelegaan
Shaiful Shamsudin
December 17, 2024 08:37 MYT
December 17, 2024 08:37 MYT
Harry Kane dan Alphonso Davies kembali menjalani latihan bersama Bayern Munich buat pertama kali sejak pulih daripada kecederaan paha.
Kane terlepas empat perlawanan terakhir sejak terhincut-hincut ketika seri 1-1 dengan Borussia Dortmund pada 30 November lalu.
Kapten England itu merupakan penjaring terbanyak Bundesliga musim ini dengan 14 gol -- lebih satu jaringan daripada pemain Eintracht Frankfurt, Omar Marmoush.
Sementara itu, Davies turut tercedera dalam kemenangan 4-2 ke atas Heidenheim pada 7 Disember lalu.
Kedua-dua pemain itu tidak diturunkan ketika Bayern tumbang 1-2 di Mainz yang merupakan kekalahan liga pertama mereka musim ini di bawah kendalian Vincent Kompany.
Gergasi Bavaria itu akan berusaha untuk mengembalikan rentak kemenangan apabila melayani kunjungan Leipzig dalam perlawanan terakhir 2024, hujung minggu ini.