Harimau Malaya: Laos jadi kayu pengukur tumpuan pemain -- Paulo Josue

Shaiful Shamsudin
November 7, 2024 18:13 MYT
Pemain naturalisasi Harimau Malaya, Paulo Josue, tiada rungutan dengan pemilihan Laos sebagai seteru Harimau Malaya yang seterusnya biarpun ia dikatakan bukan standard skuad negara berdasarkan ranking pencabar yang berada di tangga 187 dunia.
Semalam, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai 26 pemain untuk kem latihan pusat skuad kebangsaan yang akan bermula Ahad ini.
"Perlawanan ini penting buat kami untuk membolehkan jurulatih memantau tindak balas kami apabila bertemu pasukan kerdil. Menilai keampuhan serangan dan membuat rombakan bagi mendapat keputusan memberangsangkan.
"Jadi kami menganggap ini juga satu perlawanan sukar dan harus membuat persediaan," katanya yang sudah membuat 16 penampilan antarabangsa.
Skuad negara akan diperkuatkan dengan kehadiran semula kapten, Dion Cools, yang tidak menyahut panggilan negara bulan lalu berikutan urusan keluarga serta Mukhairi Ajmal Mahadi, Ubaidullah Shamsul Fazili dan Haziq Nadzli.
Pemilihan Natxo Insa paling mencuri tumpuan setelah tampil buat kali terakhir ketika menentang Bahrain dalam kempen Piala Asia Qatar, Januari lalu.
Pemain veteran negara itu mendapat kritikan hebat oleh peminat gara-gara aksi hambar sekalipun menyerlah bersama JDT ketika ini.
"Natxo merupakan kunci kepada sistem permainan JDT.
"Adalah penting skuad kebangsaan dapat menggunakan maklumat dan pengalamannya," katanya.
#FAM #Harimau Malaya
;