Manchester City perlu mencapai prestasi "hampir sempurna" hingga akhir musim ini sekiranya mereka berhasrat memintas Arsenal, demikian menurut Pep Guardiola.

Arsenal kehilangan mata buat kali ketiga musim ini selepas seri tanpa jaringan ketika berdepan Newcastle United semalam, tetapi mereka masih lapan mata di depan City yang menghuni di tangga kedua Liga Perdana Inggeris (EPL).

Penyandang juara itu akan berkunjung ke London awal pagi esok, tetapi Guardiola menyedari bahawa The Gunners mungkin tidak tidak dapat dikekang berdasarkan prestasi semasa.

"Cara anda perlu mengurangkan jurang ini ialah beraksi dengan baik dan memenangi perlawanan," kata pengurus itu dalam sidang media pra-perlawanan.




"Mereka akan mempunyai purata dan mencapai 100 mata atau lebih andai mereka meneruskan rentak sebegini dan kami tidak akan mampu mengejar mereka. Kami perlu menghampiri prestasi sempurna.

"Kami menjangkakan dari sini hingga akhir musim ini, persembahan mereka akan menurun sedikit tetapi mereka cemerlang ketika berdepan Newcastle, jadi kita akan lihat apa yang berlaku."

City terikat seri 1-1 oleh Everton Sabtu lalu dan hanya memperoleh empat mata daripada sembilan mata terakhir yang ditawarkan.