Chelsea mengumumkan Graham Potter sebagai pengurus baharu, sehari selepas berpisah dengan Thomas Tuchel.

Pengurus berusia 47 tahun itu yang melatih Brighton & Hove Albion sejak 2019 menandatangani kontrak selama lima tahun dan akan memulakan tugas dengan serta-merta di Fulham, Sabtu ini.

Sementara itu, pengurus B-21 Brighton, Andrew Crofts, mengambil alih tugas sementara memimpin skuad utama yang bakal mengadakan kunjungan ke Bournemouth.

“Saya amat berbangga dan teruja untuk mewakili kelab bola sepak yang hebat ini.

"Saya amat teruja untuk bekerjasama dengan kumpulan pemilik baharu Chelsea dan tidak sabar-sabar untuk bertemu dan bekerjasama dengan kumpulan pemain yang menarik ini dalam usaha membangunkan pasukan dan budaya yang boleh dibanggakan oleh peminat kami yang hebat.




"Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tulus ikhlas buat Brighton & Hove Albion kerana memberi saya peluang ini, khususnya Tony Bloom dan seluruh pemain, kakitangan dan penyokong atas sokongan berterusan mereka sepanjang saya di kelab itu," katanya dalam satu kenyataan rasmi kelab.

Ketika di Pantai Selatan, Potter membantu The Seagulls mengelak daripada ancaman penyingkiran sepanjang dua musim pertamanya sebelum menamatkan saingan di kedudukan 10 terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu.

Musim ini, dia memacu Brighton menerusi permulaan menarik dengan mencipta empat kemenangan dalam enam perlawanan, termasuk kejayaan mengagumkan ke atas Manchester United dan Leicester City.

Menurut The Mirror, Chelsea perlu menebus kontrak bekas pertahanan dari Solihull, England, itu setinggi £20 juta (RM103.5j).