MANCHESTER UNITED 1 ATHLETIC BILBAO 1

Facundo Pellestri memastikan Manchester United tidak tewas dalam aksi pramusim terakhir apabila bangkit mengikat Athletic Bilbao 1-1 di Dublin awal pagi tadi.

Harry Maguire, yang kesilapannya membenarkan ruang buat Nico Williams membuka jaringan buat Bilbao dalam babak pertama, menebus kesilapan itu dengan melakukan umpanan buat pemain kebangsaan Uruguay, Pellestri, sekali gus menjaringkan gol penyamaan United dalam waktu kecederaan di Stadium Aviva.

United bimbingan Eric ten Hag sepatutnya memperoleh permulaan lebih sempurna apabila Pellestri melakukan hantaran licik ke arah belakang pertahanan Athletic untuk mendapatkan Jadon Sancho tetapi percubaan pemain sayap itu ditepis penjaga gol, Unai Simon, pada minit keempat.

Bagaimanapun, lawan dari LaLiga itu terlebih dahulu memecahkan kebuntuan pada minit ke-29, di mana Oihan Sancet memanfaatkan kesilapan Maguire untuk meloloskan bola kepada Nico Williams, yang melepaskan rembatan melepasi penjaga gol United, Tom Heaton.

Peluang Bilbao untuk mempertahankan kelebihan satu gol itu mula goyah pada 24 minit terakhir apabila Aitor Parades dilayangkan kad merah kerana menjatuhkan Hannibal Mejbri selepas tewas penguasaan bola kepada pemain tengah Tunisia itu.

United akhirnya memperoleh gol penyamaan dalam waktu kecederaan apabila Maguire melakukan hantaran tandukan daripada umpanan Aaron Wan-Bisaka untuk dimanfaatkan Pellestri dalam melakukan penyudah.