REAL MADRID 4 ESPANYOL 0

Real Madrid mengesahkan kejuaraan LaLiga musim ini dengan cukup bergaya, di mana Rodrygo menjaringkan gol berganda ketika menewaskan Espanyol 4-0 di Santiago Bernabeu lewat malam tadi.

Los Blancos hanya perlu mengelakkan kekalahan dalam perlawanan itu untuk memastikan pasukan di tangga ketiga, Barcelona, tiada lagi peluang memintas mereka dalam perebutan gelaran itu.

Dan mereka tidak melakukan sebarang kesilapan dalam menewaskan seteru setempat Barca itu, di mana Rodrygo cukup menyerlah dalam separuh masa pertama dengan dua jaringan yang dihasilkannya, masing-masing pada minit ke-33 dan 43.

Marco Asensio kemudian menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-55 dan jaringan Isco pula dibatalkan pengadil kerana ofsaid.

Bagaimanapun, Madrid memastikan mereka menebus kembali kejuaraan yang terlepas ke tangan Atletico Madrid musim lalu itu apabila ayam tambatan, Karim Benzema, melepaskan rembatan deras untuk menewaskan penjaga gol, Diego Lopez, buat kali keempat pada minit ke-81, sekali gus memastikan Los Blancos menjulang trofi LaLiga buat kali ke-35.

Madrid seterusnya akan mengalihkan tumpuan untuk menterbalikkan defisit 3-4 ketika melayani kunjungan Manchester City dalam separuh akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi Khamis ini.