Gol berganda Odegaard pastikan Arsenal kekal permulaan sempurna
Muzaffar Musa
August 21, 2022 09:03 MYT
August 21, 2022 09:03 MYT
AFC BOURNEMOUTH 0 ARSENAL 3
Arsenal mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus dalam permulaan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dengan kemenangan selesa 3-0 ke atas Bournemouth di Stadium Vitality awal pagi tadi.
Ketua pasukan, Martin Odegaard, menjaringkan dua gol dalam 11 minit pertama untuk The Gunners mengawal permainan sambil Bournemouth gagal mendaftarkan sebarang sentuhan bola dalam kawasan penalti Arsenal sepanjang babak pertama.
William Saliba kemudian menjaringkan gol pertamanya bersama kelab itu untuk melebarkan kelebihan mereka dalam babak kedua sambil perancang utama, Gabriel Jesus, menyaksikan jaringannya dibatalkan kerana ofsaid.
Kemenangan itu menyaksikan Arsenal menjadi satu-satunya pasukan yang meraih sembilan mata maksimum daripada tiga perlawanan pertama EPL musim ini walaupun Manchester City berpeluang untuk menyertai mereka seandainya dapat menewaskan Newcastle United malam ini.
Arsenal memecahkan kebuntuan seawal minit kelima apabila Jesus membelah pertahanan Bournemouth sebelum memberikan umpanan buat Gabriel Martinelli, yang percubaannya diselamatkan Mark Travers sebelum Odegaard menolak masuk bola muntah berkenaan.
Odegaard menggandakan jaringannya enam minit kemudian menerusi penyudah kaki kirinya sebelum Saliba meledak gol menarik pada minit ke-54.
Jaringan Jesus pada lewat permainan pula dibatalkan video bantuan pengadil (VAR) selepas didapati berada di kedudukan ofsaid sewaktu menerima hantaran Odegaard tetapi Arsenal mengekalkan penguasaan mereka sehingga ke wisel penamat.