GETAFE 0 ATLETICO MADRID 3

Alvaro Morata menjaringkan gol berganda untuk Atletico Madrid memulakan kempen baru LaLiga dengan kemenangan 3-0 ke atas Getafe di Coliseum Alfonso Perez awal pagi tadi.

Pemain kebangsaan Sepanyol itu menjaringkan satu gol dalam setiap separuh masa untuk pasukan bimbingan Diego Simeone itu memulakan musim baru dengan kemenangan selesa sebelum Antoine Griezmann menyumbat masuk gol ketiga pelawat.

Morata membuka jaringan dengan penyudah rendahnya untuk mengatasi David Soria pada minit ke-15.

Carles Alena kemudian membalas dengan percubaan jarak jauh yang sedikit tersasar sebelum Borja Mayoral menggegarkan palang gol Atletico tetapi selepas itu, kedua-dua pasukan kelihatan lebih gemar bermain secara fizikal.

Getafe kekal memberikan saingan sehinggalah Joao Felix memanfaatkan kesilapan di bahagian pertahanan mereka untuk menyediakan bola yang disudahkan Morata selepas sejam permaian, sekali gus merentap semangat juang mereka.

Griezmann kemudian melengkapkan keputusan perlawanan dengan menanduk masuk gol ketiga Atletico untuk memastikan tiga mata pertama mereka.