Pemain muda berbakat, Florian Wirtz, menegaskan ini bukan masa yang sesuai untuk mengulas mengenai perancangan masa depannya bersama Bayer Leverkusen kerana dia sedang mempersiapkan diri menjelang Euro 2024 bersama Jerman di laman sendiri.

Pemain kelahiran Pullheim itu muncul sebagai salah seorang penyerang tengah yang meraih pujian tertinggi dalam dunia bola sepak, membintangi skuad kendalian Xabi Alonso yang merupakan juara Bundesliga pada 2023/24.

Dia menerima anugerah pemain terbaik Bundesliga selepas berjaya membolosi 11 gol dan 11 bantuan jaringan sekali gus membawa Die Werkself menjulang kemenangan berganda DFB-Pokal.

Kelab lain seperti Real Madrid, Manchester City dan Manchester United turut dikaitkan dengan perpindahan Writz.

Bagaimanapun, laporan media Jerman mendakwa Writz adalah sasaran utama jangka masa panjang Bayern Munich.

Dia kini berada di bawah kontrak BayArena sehingga 2027 dan tidak memikirkan kelab masa depannya sementara skuad kendalian Julian Nagelsmann sedang bersiap siaga untuk perlawanan pembukaan Euro 2024 minggu depan menentang Scotland.

Pemain berusia 21 tahun itu telah mengumpul 17 kaps senior untuk Jerman selain menjaringkan gol antarabangsa pertamanya dalam kemenangan persahabatan ke atas Perancis, Mac lalu.